Sabtu, Disember 06, 2008

rasa redha itu menghilangkan kesedihan...

Qadha’ Allah itu pasti terjadi, baik kepada yang menolak atau yang menerima. Rasulullah saw pernah bersabda, “Allah tidak menetapkan qadha’ bagi seorang hamba, kecuali qadha’ itu baik bagi dirinya”.

     Orang yang menerima setiap qadha’ Allah itu dengan redha akan mendapat pahala dan kebahagiaan, tetapi bagi orang yang menolaknya akan mendapat dosa dan kesengsaraan. Beriman kepada qadha’dan qadar Allah merupakan salah satu daripada rukun iman yang wajib kita percaya. Menolak qadha’ Allah itu seolah-olah kita menolak rukun iman ini.

     Tetapi sejauhmanakah rasa redha itu boleh dikatakan betul-betul redha? Adakah dengan setakat menyatakan, ‘aku redha ya Allah.’ ?

     Rasa redha itu sukar untuk kita ukur dan tafsirkan setakat mana kita telah redha dengan setiap ketentuan Allah itu. Rasa redha itu bukan hanya melibatkan perkara lahiriyyah tetapi perkara batiniyyah juga.

     Kekadang manusia hanya senang untuk berkata - redhalah dengan ketentuan Ilahi. Namun, bagi orang yang mengharungi ujian tersebut, sangat susah sebenarnya untuk mencapai tahap redha yang betul-betul redha dan menyerahkan segalanya kepada Allah Yang Esa. 

    Bagi ana, ini adalah kerana kita masih ragu-ragu dan takut untuk menghadapi segala kemungkinan yang tidak kita ketahui. Sedangkan Allah itu Maha Pengasih dan Maha Penyayang, mana mungkin Allah membebani kita dengan sesuatu yang tidak mampu kita harungi, mana mungkin Allah mensia-siakan hambanya yang beriman, mana mungkin Allah tidak mengampunkan dosa-dosa kita kerana Dialah Yang Maha Pengampun dan Maha Penerima Taubat.

     Ana menasihati diri ana sendiri supaya yakinlah dan yakinlah dengan pertolongan Allah, janganlah berputus asa dari rahmat Allah dan berbaik sangkalah terhadap-Nya. Sabarlah dan tunggulah jalan keluar dari segala masalah ini kerana pertolongan Allah itu akan datang hanya sedikit masa lagi.

“…dan kamu menyangka kepada Allah dengan bermacam-macam prasangka. Di situlah diuji orang-orang mukmin dan digoncangkan hatinya dengan goncangan yang sangat dahsyat”.      [Al-Ahzab: 10-11]

 
Sabda Nabi saw: Ketahuilah bahawa pertolongan itu datang sesudah kesabaran; kelapangan datang sesudah kesulitan; dan kemudahan datang sesudah  kesulitan. 

 
“Ya Allah jadikanlah aku redha menerima semua keputusan-Mu sehingga aku memahami bahawa semua (nikmat atau musibah) yang telah Engkau tetapkan akan mengenai diriku, pasti tidak meleset dariku, dan semua (nikmat atau musibah) yang Engkau tetapkan akan pasti meleset dariku, pasti tidak akan mengenaiku”.

 
Wallahua’lam.

Tiada ulasan: